Rabu, 2 Mac 2011

Bongkar keilmuan Barat

Oleh Ismail Hashim

Peristiwa runtuhnya dua bangunan berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001 akibat serangan dua buah kapal terbang awam yang diikuti dengan perisytiharan perang menentang keganasan yang menyebabkan penaklukan Amerika Syarikat (AS) ke atas Afghanistan dan Iraq seharusnya membawa pengertian penting bagi masyarakat Islam dan Dunia Ketiga.

Ia membawa kita kepada suatu bentuk pemikiran untuk menilai semula segala korpus keilmuan Barat dan membongkar semula wacana keilmuan imperialis/kolonialis. Dalam hal ini apabila menyebutkan Barat kita mengaitkannya dengan AS dan Eropah Barat.
Bukannya tidak terdapat kesedaran semacam itu kerana sebelum ini terdapat tulisan-tulisan yang mempersoalkan dan mengkritik wacana imperialisme seperti daripada Frantz Fanon, Edward W. Said, Ziauddin Sardar, Asish Nandy, Syed Hussien Alatas, Syed Naquib Alatas, Hassan Hanafi dan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S.M. Mohd Idris (menyebut segelintir) tetapi sedikit sekali terdapat dalam bentuk kesatuan, persatuan atau organisasi yang ingin membongkarkan wacana keilmuan Barat.
Terdapat juga penulisan-penulisan dan wacana pascakolonial atau penjajah yang sedang dikembangkan. Tetapi perkataan pascakolonial atau penjajah - adakah bermakna tiada penjajahan yang berlaku lagi.
Ini juga bukanlah bermakna tidak terdapat kesedaran politik, budaya dan ekonomi yang ingin membebaskan diri daripada cengkaman imperialisme Barat. Bahkan sejak bermulanya perjuangan kemerdekaan di kalangan negara Dunia Ketiga sudah terdapat pergerakan politik dan agama yang melakukan perkara sedemikian.
Tetapi kini kita ingin menyoal dan menjalankan pembongkaran terhadap segala korpus dan wacana keilmuan Barat.
Sebagai permulaan, kita boleh menyoal ke manakah hala tuju pendidikan AS sekarang? AS yang terkenal dengan sistem pendidikan unggul dan mempunyai antara universiti terbaik di dunia seperti Universiti Berkeley dan Harvard kini sedang melakukan pembunuhan secara terang-terangan ke atas rakyat Iraq yang tidak berdosa.
Suatu malapetaka kemanusiaan telah berlaku di Fallujah, Iraq apabila tentera AS bertindak menggempur bandar tersebut dengan segala kekuatan ketenteraannya.
Apakah matlamat sistem pendidikan AS? Ingin melahirkan seorang insan atau melahirkan manusia rakus dan tamak akan kuasa. Sama ada dipersetujui atau tidak, sistem pendidikan AS telah gagal melahirkan seorang manusia yang berakhlak dan bermoral. Ia boleh saja melahirkan seorang manusia yang berilmu tetapi masih gagal melahirkan seorang insan.
Seorang aktivis masyarakat pribumi Amerika (Red Indian) bernama Ward Churchill dalam buku kecilnya White Studies (Kajian Orang Putih) telah menjalankan kajian terhadap sistem pendidikan tinggi AS dan membuat beberapa rumusan.
Penilaian
Ia adalah kajian perintis dengan dua matlamat:
1. Membentuk penilaian kritis tentang sistem pendidikan tinggi daripada perspektif pribumi. (Daripada perspektif kita, Malaysia atau umat Islam).
2. Memberikan ringkasan mengenai bagaimana pendidikan tinggi boleh berpindah dari model kolonial. Dengan kata lain, buku kecil ini sekali gus merupakan analisis masalah dan seruan untuk bertindak.
White Studies menerangkan kesulitan yang dialami oleh pelajar yang mempunyai kesedaran untuk membebaskan diri daripada cengkaman wacana imperialis.
Ia menerangkan bagaimana suatu sistem yang bangga dengan `objektiviti' dan `kebebasan kesarjanaan', namun pada hakikatnya bersandarkan kepada order kolonial yang menyempitkan pemikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu pandangan yang kecil.
Melalui buku kecil ini ia juga membantu kita mencari kaedah menyoal balik sistem tersebut, yang bermula dari dalam kemudian berhijrah keluar daripada sistem tersebut sama sekali.
Apa yang dimaksudkan Churchill sebagai White Studies adalah bentuk pemikiran dan tindakan kolonialisme pada mulanya telah menakluki minda orang Barat dan kini semakin berleluasa sebagai fenomena global, mempengaruhi semua orang di dunia ini, dan proses globalisasi telah atau sedang cuba menghapuskan semua sistem lain yang ada tanpa menghiraukan tradisi pendidikan tempatan.
Tambah Churchill lagi di zaman liberal yang berkembang luas dengan persekolahan moden yang gagal menyelesaikan masalah alam sekitar, keruntuhan budaya dan kerosakan masyarakat - maka sudah sampai masanya manusia mencari kepelbagaian dalam cara berfikir dengan mencari kebebasan dalam memperkasakan budaya dan masyarakat serantau.
Atas dasar ini adalah dirasa perlu bagi kita untuk membina korpus ilmu yang berpusat dan berdasarkan kepada ketimuran, Islam atau lebih dikenali sebagai oksidentalisme.
Malah bekas perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad telah merintis ke arah pembentukan suatu pusat kajian Barat dan yang akhirnya membawa kepada tertubuhnya Institut Kajian Oksidental (IKON) di Malaysia di mana Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin adalah pengarahnya.
Malaysia atau negara Dunia Ketiga yang lain tidak harus selamanya menjadi objek kajian Barat tetapi sekarang Barat pula harus menjadi objek kajian kita di mana mereka adalah `Yang Lain' dan kita adalah subjek yang mengkaji Barat.
Kita mungkin boleh menyoal sejauh mana dan selama manakah dunia akademik di universiti-universiti Dunia Ketiga harus bergantung kepada Barat dalam pelakaran dan penghasilan kurikulum sains sosialnya.
Dan persoalan kenapa sains sosial? Ini kerana banyak disiplin ilmu dalam bidang sastera berasal daripada sains sosial seperti sosiologi, sejarah, sains politik, ekonomi, psikologi, kajian wanita, perlakuan organisasi, pengajian komunikasi dan yang berkaitan dengannya.
Misalnya dalam pelakaran kurikulum sosiologi di universiti, kita tidak seharusnya bergantung kepada tokoh-tokoh sosiologi Barat seperti Max Weber, Karl Marx, Emile Durkhiem, Aguste Comte dan seumpamanya.
Ahli-ahli akademik tempatan boleh saja memperkenalkan nama tokoh-tokoh sosiologi Islam dan Dunia Ketiga seperti Ibn Khaldun, Al Biruni, Mahatma Gandhi, Jose Rizal, Dr. Ali Shariati, Malik Ben Nabi atau tokoh sosiologi tempatan seperti Syed Hussien Alatas.
Suatu perbandingan harus dilakukan antara sumbangan dan peranan ahli sosiologi Barat dan Dunia Ketiga.
Ini tentunya berbeza dengan bagaimana Max Weber dan Karl Marx mengkaji dan menanggapi masyarakat Eropah pada abad ke-19 dengan apa yang kita lihat sekarang.
Bolehkah lagi teori mereka yang dihasilkan pada abad ke-19 atau awal abad ke-20 berdasarkan kepada senario dan budaya Eropah diguna pakai dalam mengkaji masyarakat Malaysia atau Dunia Ketiga?
Mungkin kita boleh pergi lebih jauh dengan mempersoalkan bidang komunikasi umpamanya. Mengapakah sehingga sekarang masih terdapat dua aliran pemikiran komunikasi Barat iaitu Fungsionalisme dan Sosialisme dalam disiplin komunikasi di kebanyakan universiti tempatan? Sejauh manakah pula peranan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam mengembangkan teori komunikasi Islam.
Mengapa harus bergantung kepada dua bidang sahaja? Adakah kerana tiada ahli akademik yang mengkaji dan pakar dalam teori komunikasi Barat dan Timur?
Mengapa ahli-ahli akademik sains sosial (termasuk komunikasi) kita sukar mendapat tempat dalam jurnal komunikasi Barat.
Adakah kerana segala penulisan dan penyelidikan ahli akademik dan sarjana kita tidak bermutu atau tidak setanding dengan sarjana Barat?
Ini bukan kerja yang mudah tetapi setidak-tidaknya setelah lebih 25 tahun merdeka, apakah kita harus dan masih bergantung kepada teori komunikasi Marxis (ekonomi politik) dan Fungsionalisme dalam pengajian komunikasi, kajian media atau dalam ilmu sosiologi atau sains politik misalnya.
Adakah minda kita masih terjajah?
Secara lebih jauh lagi sejauh manakah kurikulum tempatan pada tahap sekolah rendah dan menengah dilakukan mengikut kepentingan dan selera tempatan. Sehingga ke tahap manakah mata pelajaran sejarah, kajian tempatan dan mata pelajaran lain diwarnai oleh pandangan kemalaysiaan misalnya?
Misalnya kita harus menyingkirkan pandangan bahawa Francis Light yang menemui Pulau Pinang. Suatu usaha untuk meluruskan sejarah Pulau Pinang harus dilakukan. Hakikatnya orang Melayulah yang mula-mula menemui Pulau Pinang dan bukannya Francis Light.
* Ismail Hashim ialah Pensyarah Komunikasi di Kolej Han Chiang, Pulau Pinang.

BERDIRI YANG DILARANG

BERDIRI YANG DILARANG

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa suka dihormati manusia dengan berdiri, maka hendaknya ia mendiami tempat duduknya di Neraka." (HR. Ahmad, hadits shahih)

Anas bin Malik berkata,
"Tak seorangpun yang lebih dicintai oleh para sahabat daripada Rasulullah SAW. Tetapi, bila mereka melihat Rasulullah SAw (hadir), mereka tidak berdiri untuk beliau. Sebab mereka mengetahui bahawa beliau membenci hal tersebut." (HR. At-Tirmizi, hadis shahih)

Hadis di atas mengandungi pengertian bahawa seorang muslim yang suka dihormati dengan berdiri, ketika ia masuk suatu majlis, maka ia menghadapi ancaman masuk Neraka sebab para sahabat Radhiallaahu anhu yang sangat cintanya kepada Rasulullah SAW, bila mereka melihat Rasulullah SAW masuk ke dalam suatu majlis, mereka tidak berdiri untuk beliau Kerana mereka mengetahui bahawa Rasulullah SAW tidak suka yang demikian.

Orang-orang biasa berdiri untuk menghormati sebahagian mereka. Apalagi jika seorang syaikh (tuan guru) masuk untuk memberikan pelajaran, atau untuk memimpin ziarah ke tempat-tempat tertentu. Juga jika guru masuk ke ruang kelas, anak-anak segera berdiri untuk menghormatinya. Anak yang tidak mahu berdiri akan dikatakan sebagai tidak beradab, dan tidak hormat kepada guru.

Diamnya syaikh dan guru terhadap penghormatan dengan berdiri itu, atau peringatan terhadap anak yang tidak mahu berdiri menunjukkan syaikh dan guru senang dihormati dengan berdiri. Dan itu bererti sesuai dengan nash hadis di atas? mereka menghadapi ancaman masuk Neraka.

Jika keduanya tidak suka penghormatan dengan berdiri, atau membencinya, tentu akan memberitahukan hal tersebut kepada para anak didik. Selanjutnya meminta agar mereka tidak lagi berdiri setelah itu. Lalu menjelaskan hal tersebut dengan menghuraikan hadis-hadis tentang larangan penghormatan dengan berdiri.

Membiasakan berdiri untuk menghormati orang alim atau orang yang masuk suatu majlis, akan melahirkan di hati keduanya kesenangan untuk dihormati dengan cara berdiri. Bahkan jika seseorang tidak berdiri, ia akan merasa gelisah. Orang-orang yang berdiri itu menjadi penolong syaitan dalam hal senang penghormatan dengan cara berdiri bagi orang yang hadir. Padahal Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Janganlah kalian menjadi penolong syaitan atas saudaramu." (HR. Al-Bukhari)

Banyak orang mengatakan, kami berdiri kepada guru atau syaikh hanyalah sekadar menghormati ilmunya. Kita bertanya, apakah kalian meragukan keilmuan Rasulullah SAW dan adab para sahabat kepada beliau, meski demikian mereka tetap tidak berdiri untuk Rasulullah SAW?

Islam tidak mengajarkan penghormatan dengan berdiri tetapi dengan ketaatan dan mematuhi perintah, menyampaikan salam dan saling berjabat tangan. Kerananya, sungguh tak bererti apa yang disenandungkan penyair Syauqi,

"Berdirilah untuk sang guru, penuhilah penghormatan untuknya. Hampir sahaja seorang guru itu, menjadi seorang rasul (mulia)."

Sebab syair tersebut bertentangan dengan sabda Rasulullah SAW yang membenci berdiri untuk menghormat. Bahkan mengancam orang yang menyukainya dengan masuk Neraka.

Sering kita jumpai dalam suatu pertemuan, jika orang kaya masuk, semua berdiri menghormati. Tetapi giliran orang miskin yang masuk, tak seorang pun berdiri menghormat. Perlakuan tersebut akan menumbuhkan sifat dengki dihati orang miskin terhadap orang kaya dan para hadirin yang lain. Akhirnya antara umat Islam saling membenci. Sesuatu yang amat dilarang dalam Islam. Musababnya, berdiri buat menghormati. Padahal orang miskin yang tidak dihormati dengan berdiri itu, boleh jadi dalam pandangan Allah lebih mulia dari orang kaya yang dihormati dengan berdiri. Sebab Allah berfirman yang maksudnya:

"Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu." (Al-Hujurat: 13)

Mungkin ada yang berkata, "Jika kita tidak berdiri untuk orang yang masuk ke majlis, mungkin dalam hatinya terdetik sesuatu prasangka kepada kita yang duduk."

Kita menjawab, "Kita menjelaskan kepada orang yang datang itu, bahawa kecintaan kita padanya terletak di hati. Dan kita meneladani Rasulullah SAW yang membenci berdiri untuk penghormatan. Juga meneladani para sahabat yang tidak berdiri untuk beliau. Dan kita tidak menghendaki orang yang datang itu masuk Neraka."

Terkadang kita mendengar dari sebahagian masyayikh (para tuan guru) menerangkan, bahawa Hasan, penyair Rasulullah SAW pernah menyenandungkan syair: "Berdiri untuk menghormatiku adalah wajib."

Ini adalah tidak benar. Dalam hal ini, alangkah indah apa yang disenandungkan oleh murid lbnu Baththah Al-Hambali, ia bersyair,

Jika benar nurani kita, cukuplah.
"Kenapa harus badan berpayah-payah?
Jangan bebani saudaramu, saat bertemu,
dengan menghalalkan apa yang haram untukmu.
Setiap kita percaya, terhadap kecintaan murni saudaranya.
Maka, kerana dan atas dasar apa, kita menjadi gelisah?"

fikirkan permusuhan kita akan dimusuhi, fikirkan kebencian kita akan dibenci, tapi sekiranya kita fikirkan kasih sayang kita akan dikasihi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...