Isnin, 7 Mac 2011

TUKANG KASUT DAN RAJA

TUKANG KASUT DAN RAJA

 
Seorang alim meminta tukang kasut menampal kasutnya yang koyak. Orang alim itu tidak mempunyai wang sebagai upah kepada tukang kasut. Sebagai ganti dia hendak mengajarkan satu ilmu agama kepadanya. Tukang kasut itu tidak bersetuju dan tetap hendakkan wang sebagai upah.  
Di negeri yang sama, seorang raja menyerahkan anaknya kepada Tok Guru untuk mendalami ilmu agama. Bertahun-tahun anaknya belajar di pondok Tok Guru tetapi tidak dapat apa-apa kecuali mahir dalam satu bab saja iaitu Bab Haid. Apabila Raja mengetahui anaknya mahir dalam agama walau satu bab sahaja, dia menyerahkan semua hartanya kepada si-anak tadi.  
 
MORAL & IKTIBAR  
 
  • Orang yang mengasihi dunia lebih suka mendapat ganjaran yang sedikit daripada dunia.  
  • Peminat dunia tidak begitu menghargai nilai ilmu agama  
  • Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikhendakiNya. Dalam hal ini tukang kasut tidak dapat hidayah Allah.  
  • Akal manusia tidak dapat menilai suatu yang baik hanya berdasarkan kepada logik akal tanpa merujuk kepada ajaran agama.  
  • Mereka yang dapat menilai kepentingan ilmu berasa bertuah meskipun hanya dapat satu ilmu saja kerana nilai di sisi Allah adalah amat besar.  
  • Wang ringgit akan habis tetapi ilmu agama kekal sebagaimana kekalnya akhirat. 
  • Wang ringgit bukan menjadi ukuran keredhaan Allah 
  • Manusia menjadi hamba kepada apa yang dicintainya 
  • Bukan semua orang miskin menyintai agama, dan bukan semua orang kaya menyintai dunia 

 PENCURI KAIN KAPAN

Di Baghdad terdapat seorang lelaki yang sering mencuri kain kapan. Dia menggali setiap kubur orang yang baru meninggal dunia dan mengambil kain itu. Pada satu malam sedang dia menggali kubur, dia terperanjat besar melihat api menjulang-julang keluar dari lubang kubur. Badannya menggigil dan terus pingsan.   
Sebaik saja sedar, dia lari lintang-pukang sambil menangis teresak-esak. Dia berjumpa dengan seorang wali Syeikh Jonid Al-Bustani untuk menceritakan keadaan dan ingin bertaubat. Dia mengadu yang dia telah menggali 78 kubur. Hanya 2 kubur saja yang mayatnya masih mengadap kiblat. Dalam kubur-kubur lain, semua mayat itu telah berpusing membelakangkan kiblat. Syeikh Joned menerangkan mayat-mayat yang berpusing membelakangkan kiblat itu adalah pada masa hidupnya syak atau ragu-ragu tentang jaminan rezeki oleh Allah.   
  
MORAL & IKTIBAR   
 
  • Kita mesti yakin tentang rezeki yang Allah telah jamin sebelum kita dilahirkan lagi. 
  • Syak terhadap jaminan ini sama seperti tidak beriman terhadap Allah 
  • Allah mengurniakan hidayat kepada sesiapa yang dikehendaki meskipun pada mulanya dia seorang a'asi (maksiat) 
  • Jangan menghina atau memandang rendah kaki maksiat, jangan-jangan dia akan bertukar menjadi orang yang soleh; sedangkan kita belum tahu. 
  • Syak terhadap jaminan rezeki adalah satu dosa yang balasannya diterima di dalam kubur lagi. 
  • Mayat di kubur sebenarnya tidak mati, dia hanya berpindah alam dan di sana dia akan merasa bahagia jika ahli syurga dan ditimpakan azab jika ahli neraka. 
 BERKAT KEJUJURAN 

Syeikh Abdul Kadir semasa berusia 18 tahun meminta izin ibunya  merantau ke Baghdad untuk menuntut ilmu agama. Ibunya tidak  menghalang cita-cita murni Abdul Kadir meskipun keberatan  melepaskan anaknya berjalan sendirian beratus-ratus batu. Sebelum pergi ibunya berpesan supaya jangan berkata bohong dalam apa jua keadaan. Ibunya membekalkan wang 40 dirham dan dijahit di dalam pakaian Abdul Kadir. Selepas itu ibunya melepaskan Abdul kadir pergi bersama-sama satu rombongan yang kebetulan hendak menuju ke Baghdad.   
Dalam perjalanan, mereka telah diserang oleh 60 orang penyamun. Habis harta kafilah dirampas tetapi penyamun tidak mengusik Abdul Kadir kerana menyangka dia tidak mempunyai apa-apa. Salah seorang perompak bertanya Abdul Kadir apa yang dia ada. Abdul Kadir menerangkan dia ada wang 40 dirham di dalam pakaiannya. Penyamun itu hairan dan melaporkan kepada ketuanya. Pakaian Abdul Kadir dipotong dan didapati ada wang sebagaimana yang diberitahu.   
Ketua penyamun bertanya kenapa Abdul Kadir berkata benar walaupun diketahui wangnya akan dirampas? Abdula Kadir menerangkan yang dia telah berjanji kepada ibunya supaya tidak bercakap bohong walau apa pun yang berlaku. Apabila mendengar dia bercakap begitu, ketua penyamun menangis dan menginsafi kesalahannya. Sedangkan Abdul Kadir yang kecil tidak mengingkari kata-kata ibunya betapa dia yang telah melanggar perintah Allah sepanjang hidupnya. Ketua penyamun bersumpah tidak akan merompak lagi. Dia bertaubat di hadapan Abdul Kadir diikuti oleh pengikut-pengikutnya.   
                         
MORAL & IKTIBAR   
 
  • Ilmu Agama perlu dituntut meskipun terpaksa berjalan jauh.  
  • Kata-kata ibu menjadi pendorong dan perangsang dalam hidup.  
  • Berkata benar adalah satu kekuatan yang boleh memberi keinsafan kepada orang lain 
  • Niat yang baik dan ikhlas mendapat keberkatan daripada Allah 


 NAIK SALAH, TURUN PUN SALAH
 
 
Pada zaman dulu di negara Arab, ramai orang menunggang kaldai sebagai kenderaan. Seorang bapa membawa anaknya ke satu tempat dengan membawa seekor kaldai. Kedua-dua mereka menaiki kaldai itu dan lalu di sebuah pekan. Keadaan ini menarik perhatian orangramai. Ada di antara mereka berkata "Ini kes aniaya. Kaldai tu dah le kecil. Dua-dua orang pulak naik. Kan tu menyeksa binatang.. Tak ada peri kemanusiaan langsung".  
Si-bapa mendengar komen mereka. Lalu si bapa turun dan membiarkan anaknya sendirian di atas kaldai. Si-bapa meneruskan perjalanan sambil berjalan kaki. Mereka pun melalui sekumpulan orangramai. Sekali lagi ada yang komen, "Kurang ajar punya anak. Dia sedap-sedap naik kaldai. Bapanya dibiarkan berjalan kaki."  
Si-anak mendengar komen mereka, lalu dia turun dan menyuruh bapanya pula menunggang kaldai. Si-anak berjalan kaki mengiringi bapanya di atas kaldai. Mereka pun melalui sekumpulan orang. Sekali lagi mereka mendengar rungutan "Bapa tak ada otak, dia sedap naik kaldai, anaknya dibiarkan berpeluh berjalan."  
Mendengar komen itu, si-bapa pun turun dan berjalan bersama-sama anak. Kaldai itu dibiarkan berjalan sendirian. Mereka pun melalui sekumpulan orang. Masih ada yang komen "Apalah bodohnya orang tua ni. Ada kaldai tapi tak mau naik. Kalau macam ni, lebih baik tak payah bawa kaldai!"  
Mendengar kata-kata ini, si-bapa pun memberitahu anaknya. "Beginilah keadaan masyarakat. Mereka hanya pandai komen. Pandai melihat kesalahan orang. Ada saja yang tak betul. Kalau kita ikut saja kata-kata mereka rosak kita. Kita tidak boleh terima pandangan mereka secara melulu. Kita kena fikirkan kesemuanya dan kita buat apa yang baik pada kita. Jangan pedulikan komen mereka.."  
                        
 
MORAL & IKTIBAR  
  • Kebanyakan orang memang suka mencari kesalahan orang 
  • Pendapat dan komen mereka tidak boleh diikut melulu kecuali memang ada asas dan kebenaran. 
  • Pertimbangan mesti berdasarkan keadaan dan senario yang kita hadapi. 
  • Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan 

 ALLAH ADA, ALLAH LIHAT
 
Pengetahuan pertama yang patut diberi kepada anak ialah ilmu Tauhid - pengesaan terhadap Allah diikuti dengan pengenalan terhadap Nabi Muhammad saw. sesuai dengan konsep 'awaludin makrifatullah' atau awal-awal agama ialah mengenal Allah.   
Dalam usaha menerapkan jiwa tauhid ini, seorang bapa mengajar anaknya supaya mengulang beberapa kali ayat berikut "Allah ada, Allah melihat". Si anak tadi terus menjadikannya seperti wirid dengan mengulang berkali-kali ungkapan "Allah ada, Allah lihat". Kalau tak dapat diucapkan dengan mulut, ia dilintaskan di dalam hati.   
Pada satu hari, si-bapa dan anaknya berjalan-jalan di sebuah dusun buahan jirannya. Dia ternampak buah rambutan sedang masak di sebuah pokok. Teringin di hatinya untuk mengambil beberapa tangkai lalu dia pun menyuruh anaknya memanjat. Sebelum memanjat dia mengingatkan anaknya supaya meneriaknya jika ternampak ada orang menghala ke situ. Si anak yang taat itu pun memanjat sebagaimana yang disuruh oleh bapanya.   
Apabila hendak memetik, si-anak terus memekik "ada orang! ada orang!". Bapanya terperanjat dan lari lintang pukang bersembunyi di balik semak. Apabila anaknya turun dan mendapati tiada siapa di situ, si-bapa bertanya mana orangnya. Si-anak tadi memberitahu bapanya, "Allah ada, Allah melihat. Allah melihat apa yang saya buat. Sebab itu saya terjerit!"   
Si-bapa terdiam malu mendengar kata-kata anaknya itu.   
MORAL & IKTIBAR   
 
    • Mengajar tauhid kepada anak sejak kecil lagi adalah fardhu ain 
    • Taufiq dan hidayah adalah pemberian Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya 
    • Allah tidak suka kepada orang yang tidak mengamalkan apa yang dikatakannya 
    • Kadang-kadang orang yang belajar lebih pandai daripada orang yang mengajar 
    • Jangan lihat siapa yang berkata tapi dengar apa yang dikatakannya 
    • Ungkapan seperti 'Allah melihat apa yang kita buat' patut diterapkan dalam sanubari kita hingga benar-benar sebati dengan darah daging kita. 
    • Ilmu agama khususnya bidang akidah lebih berkesan diberi semasa kecil 
    • Orang senior perlu juga mendengar kata nasihat orang junior 
    • Mengingat Allah menjauhkan kita dari melakukan maksiat 

 DIALOG RAMADHAN DI HADAPAN ALLAH  
                      
Di akhirat semua amal kebajikan boleh dilihat dan ditimbang. Amal kebajikan datang dengan rupa dan paras yang sangat elok seperti bulan purnama; sementara amal kejahatan kelihatan amat buruk dan busuk.  
Ramadhan merupakan satu bulan di mana amalan puasa diwajibkan. Pada hari kiamat ia kelihatan amat cantik. Satu ketika Ramadhan datang ke hadrat Allah swt. memohon sesuatu recommedation bagi manusia yang berpuasa di bulan Ramadhan. Allah bertanya : Apa hajat kau ya Ramadhan?. Ramadhan meminta Allah memakaikan mahkota kepada setiap orang yang berpuasa di bulan ini. Allah lantas perkenankan dengan mengurniakan 1000 mahkota kepada setiap pengamal puasa di bulan Ramadhan. Di samping itu ada tambahan lain iaitu setiap orang diberikan syafaat untuk membebaskan 70,000 orang yang berdosa besar. Kemudian dikahwinkan setiap orang dengan 1000 bidadari yang rupawan. Setiap bidadari itu dilayan oleh 70000 dayang-dayang. Untuk kelengkapan menerawang di syurga mereka diberikan kenaikan BORAQ sebagai kapal terbang.  
Ramadhan masih tegak tidak berganjak. Allah bertanya "Apa lagi kehendakmu ya Ramadhan?" Ramadhan meminta Allah menempatkan pengamal puasa Ramadhan supaya ditempatkan bersama Nabi di Syurga Firdaus. Allah memperkenankan hajatnya dengan tambahan setiap orang diberi 100 bandar daripada permata merah ya'qut. Setiap bandar pula dilengkapkan dengan 1000 mahligai.  
Betapa hebatnya pengurniaan Allah terhadap orang yang berpuasa di bulan Ramadhan.  
MORAL & IKTIBAR  
 
    • Setiap amal kebajikan akan memberi pertolongan kepada pengamalnya sama ada di dalam kubur atau di akhirat kelak  Fadhilat Ramadhan amat banyak tidak terbatas. Amalan puasa diberikan balasan tanpa had 
    • Mengosongkan perut kerana mengharap keredhaan Allah adalah satu amalan yang terpuji 
    • Balasan bagi orang berpuasa di bulan Ramadhan atas hak Allah teristimewa dalam Lailatul-Qadr 
    • Orang berpuasa tinggal bersama nabi di Syurga Firdaus 
    • Mereka tinggal dalam kediaman yang tidak dapat digambarkan dengan mata kepala bersama bidadari dan kenaikan yang paling canggih. 
    • Amat rugilah mereka yang tidak berpuasa dengan adab yang betul sepanjang Ramadhan ini. 

 SATU AMALAN NILAINYA SYURGA  

Di padang Mahsyar segala amalan manusia ditimbang oleh Allah. Mana yang lebih banyak pahala dimasukkan ke syurga sementara yang berat timbangan dosa dihumban ke neraka. Seorang hamba Allah didapati kurang satu amalan (mata) saja untuk melayakkan dia masuk ke syurga. Jika mengikut perkiraan, dia adalah calon neraka tapi Allah Maha Penyayang akan hambanya. Allah memerintahkan orang itu mencari satu lagi mata untuk melayakkan dia ke syurga. Puas dia merayau dan mengemis dari seorang ke seorang untuk mendapatkan satu kebajikan saja namun hampa. Masing-masing memerlukan walau satu kebajikan. Kesemuanya mengatakan nasib mereka belum menentu, bagaimana hendak memberikan satu pahala.  
Namun dia tidak berputus asa. Akhirnya berjumpa dengan seorang hamba Allah yang bersimpati dengannya. Dia mengatakan hidupnya bergelumang dengan dosa dan sepanjang hidupnya hanya membuat satu kebajikan saja. Padanya satu pahala itu tidak membawa sebarang makna, kerana menyangkakan dia akan masuk ke neraka akhirnya. Oleh sebab simpatinya kepada orang itu, dia memberikan satu pahala itu kepadanya. Dengan gembira yang tidak terhingga dia kembali menghadap Allah membawa pahala tersebut. Dia menerangkan apa yang berlaku. Oleh sebab sikap penderma yang pemurah itu, Allah menyuruh orang itu mencari penderma berkenaan untuk dimasukkan bersamanya ke dalam syurga.  
 
MORAL & IKTIBAR  
 
    • Allah bersifat dengan AR-RAHIM 
    • Jangan remehkan kebajikan walaupun hanya amalan sunat 
    • Satu kebajikan amat berat timbangan di sisi Allah  Satu amalan boleh meletakkan diri sama ada syurga atau neraka
    • Di padang mahsyar semuanya nafsi-nafsi; masing-masing mau melepaskan diri dari azab yang pedih 
    • Orang yang pemurah akan dirahmati Allah yang bersifat dengan Pemurah 
    • Penghakiman di akhirat amat teliti serta berlandaskan keadilan yang hakiki 
TERPERANGKAP DI DALAM GUA 
  
Pada zaman dulu, 3 orang pemuda dalam satu perjalanan berehat di dalam sebuah gua untuk berteduh dari hujan lebat. Tiba-tiba pintu gua tertutup oleh satu batu yang besar. Mereka cuba menolak batu itu tetapi tidak berjaya.   
Mereka berusaha pelbagai cara untuk keluar tapi kesemuanya gagal.   Akhirnya tiada jalan lain kecuali bermohon dan mengadu kepada  Allah. Mereka tahu hanya Allah yang dapat melepaskan mereka.  Keputusan diambil supaya tiap-tiap orang mengadu atau bertawassul  dengan amal kebajikan yang mereka buat.   
Pemuda pertama berdoa:   
"Ya Allah, saya pernah berbuat amal soleh terhadap kedua ibubapa  saya. Suatu hari saya balik dari kerja dan berasa tersangat lapar. Saya sangka ibu saya sudah masak nasi tapi rupanya belum kerana kehabisan beras. Saya terus keluar untuk beli beras. Apabila pulang,  saya lihat ibu saya tertidur. Saya tidak berani mengejutkannya  walaupun saya tersangat lapar sehinggalah dia tersedar sendiri. Ya  Allah, jika ini merupakan amal kebajikan yang ikhlas terhadap ibuku  dan mendapat keredhaanMu, tolonglah kami untuk keluar dari sini."   
Tiba-tiba pintu itu terbuka sedikit dengan kurnia Allah, namun mereka  masih belum boleh keluar.   
Giliran pemuda kedua berdoa:   
"Ya Allah, saya juga mempunyai amal soleh. Saya mempunyai gedung  perusahaan dan mempunyai ramai pekerja. Setiap pekerja dibayar gaji tepat pada waktunya. Pada satu ketika seorang pekerja tidak datang  mengambil gaji bulanannya sehingga beberapa bulan. Wang gajinya saya gunakan untuk membeli barang-barang perniagaan sehingga saya  untung 10 kali ganda wang asalnya. Beberapa bulan kemudian,  pekerja itu datang kembali lalu saya serahkan kesemua hartanya  termasuk keuntungan yang saya niagakan. Ya Allah, sekiranya ini  merupakan amal yang mendapat keredhaanMu, tolonglah kami dalam  kesusahan ini!"   
Sebaik saja habis merayu, tiba-tiba pintu itu bergerak sedikit tetapi  masih belum boleh keluar.   
Akhirnya sampai giliran pemuda ketiga:   
"Ya Allah, aku sebenarnya tidak mempunyai suatu amalan yang  dianggap penting. Sepanjang ingatanku, hanya sekali aku berbuat baik  kerana malu kepada Engkau ya Allah. Aku ditugaskan  membahagi-bahagikan makanan kepada orang-orang miskin. Semasa  bekerja aku terlihat seorang gadis cantik yang juga meminta  bahagiannya. Setelah semua orang pulang, aku pun memanggil gadis itu  dan menyatakan niat jahatku kepadanya. Gadis itu menangis seraya  berkata dia rela mati kelaparan daripada melakukan dosa perbuatan  terkutuk itu. Aku menjadi serba salah dan datang penyesalan yang  tidak terhingga. Aku malu dan insaf atas kesalahanku. Ya Allah,  sekiranya penyesalan dan taubat ini Kau terima, tolonglah kami dari  kesusahan ini."   
Tiba-tiba pintu gua itu terbuka luas dan mereka pun keluar dengan  selamat.   
MORAL & IKTIBAR   
 
    • Allah memberikan bantuan kepada mereka yang benar-benar  berdoa dengan penuh keikhlasan kepadaNya.  
    • Dalam kesempitan, kita dibolehkan bertawassul dengan amal  kebajikan yang kita lakukan.  
    • Bertawassul juga merupakan salah satu ciri dalam Ahlus Sunnah  Wal Jamaah  
    • Dalam melaksanakan sesuau pekerjaan eloklah bermuafakat  terlebih dahulu sebab muafakat itu membawa berkat  
    • Berbakti kepada ibubapa adalah satu amalan soleh  
    • Berlaku jujur dalam perniagaan juga amalan soleh  
    • Mengelak dari melakukan perzinaan adalah amalan soleh 
 SAIDINA ALI DAN PEMINTA SEDEKAH  
                      
Siti Fatimah, isteri Saidina Ali didatangi seorang peminta sedekah. Ketika itu Saidina Ali mempunyai 50 dirham. Setelah menerima wang, pengemis itu pun balik. Di tengah jalan, Saidina Ali bertanya berapa banyak yang diberi oleh Saidatina Fatimah. Apabila diberitahu 25 dirham, Saidina Ali menyuruh pengemis itu pergi sekali lagi ke rumahnya. Pengemis itu pun pergi dan Fatimah memberikan baki 25 dirham kepada pengemis itu.  
Selang beberapa hari, datang seorang hamba Allah berjumpa Saidina Ali dengan membawa seekor unta. Orang itu mengadu dalam kesusahan dan ingin menjualkan untanya. Saidina Ali tanpa berlengah menyatakan kesanggupan untuk membelinya, meskipun ketika itu dia tidak berwang. Dia berjanji akan membayar harga unta itu dalam masa beberapa hari.  
Dalam perjalanan pulang, Saidina Ali berjumpa dengan seorang lelaki yang ingin membeli unta itu dengan harga yang lebih tinggi daripada harga asal. Saidina Ali pun menjualkan unta itu kepada orang itu. Setelah mendapat wang, Saidina Ali pun menjelaskan hutangnya kepada penjual unta.  
Beberapa hari kemudian, Rasulullah saw berjumpa Saidina Ali lalu bertanya "Ya Ali, tahukah kamu siapakah yang menjual dan membeli unta itu?" Apabila Saidina Ali mengatakan tidak tahu, Nabi menerangkan yang menjual itu ialah Jibril dan yang membelinya ialah Mikail.  
                        
MORAL & IKTIBAR  
 
    • Allah membalas atau memberi ganjaran berlipat ganda jika kita menolong orang yang dalam kesusahan. 
    • Memberikan bantuan kepada orang yang susah merupakan satu aset yang balasannya akan diterima di dunia lagi. 
    • Berikanlah bantuan kepada orang yang berada di dalam kesempitan kelak Allah akan melepaskan kita semasa kita berada dalam kesusahan. 
    • Keyakinan kepada balasan baik Allah merangsang kita untuk melakukan amalan dan kebajikan dengan lebih banyak. 
TOLERANSI NABI DALAM BERDAKWAH 
 
Sedang Nabi Muhammad saw duduk bersama para sahabat, muncul seorang pemuda berjumpa Nabi lalu berkata "Izinkanlah saya untuk berzina." Mendengar perkataan yang biadab itu, sahabat-sahabat terpinga-pinga dan merasa marah.   
Namun Nabi Muhammad bersikap tenang dan melayan dengan baik. Baginda menyuruh pemuda itu hampir kepadanya lalu bertanya "Mahukah engkau berzina dengan ibumu?" Pemuda itu menjawab "Tidak!". Lantas Nabi bersabda "Kalau begitu, orang-orang lain juga tidak suka berbuat jahat kepada ibu-ibu mereka." Nabi kemudian mengajukan soalan kedua "Sukakah kamu berbuat jahat dengan saudara perempuanmu sendiri? atau sukakah kamu sekiranya isteri kamu dinodai orang?" Kesemua soalan itu dijawab oleh pemuda itu dengan "Tidak!".   
Rasulullah saw kemudian meletakkan tangannya yang mulia ke atas pemuda itu sambil berdoa "Ya Allah, sucikanlah hati pemuda ini. Ampunkanlah dosanya dan peliharakanlah dia dari melakukan zina."   
Sejak peristiwa itu, tiadalah perkara yang paling dibenci oleh pemuda itu selain zina.   
                         
MORAL & IKTIBAR   
 
    • Sifat berlemah-lembut dan toleransi amat perlu ada dalam setiap pendakwah.  
    • Sifat lemah-lembut kunci bagi kejayaan dakwah  
    • Sifat toleransi merupakan satu rahmat dan pemberian Allah yang bersifat dengan Ar-Rahman dan Ar-Rahim  
    • Perkataan yang kasar dan kesat bukan menghampirkan orang  lain kepada kita malah akan menjauhkannya lagi  
    • Sebelum melakukan sesuatu perkara, perlulah bermesyuarat  atau berbincang (bertukar-tukra fikiran) dengan orang lain  
    • Jauhkan bertindak mengikut hawa nafsu kerana ia datang dari  syaitan  
    • Kemukakanlah soalan kepada orang lain walaupun soalan itu kemungkinan tidak ada logiknya; sementara orang yang ditanya  pula berikanlah layanan yang sepatutnya dengan ikhlas.  
    • Berikanlah nasihat atau teguran kepada orang yang memerlukan  namun teguran itu hendaklah dilakukan dengan ihsan kerana  Allah semata-mata semoga orang yang berkenaan tidak berasa  diperhinakan dan terus menerus terbiar menjadi mangsa syaitan. 
    • Berdakwah dengan hikmah memberikan kesedaran dan  keinsafan kepada orang yang didakwah. 
 KALKATU 
  
Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia meskipun dalam kejadian nyamuk, lalat atau kalkatu. Ia mengandungi hikmah dan pengajaran kepada manusia yang mahu memikirkannya. Jika mengikut logik manusia, kenapalah Allah menjadikan nyamuk sedangkan ia bahaya kepada kesihatan. Sebenarnya dalam kejadian nyamuk banyak rahsia yang manusia sendiri tidak mengetahuinya. Allah MAHA BIJAK dan MAHA MENGETAHUI.   
Pada satu malam yang sunyi lagi gelap, keluarlah satu kumpulan kalkatu entah dari mana menuju ke satu tempat yang terang dan bercahaya. Berpusu-pusu berterbangan ke arah beberapa buah pelita yang dipasang di halaman rumah. Aku lihat kesemua kalkatu itu menerkam ke tempat itu. Setiap kali terkam setiap kali kalkatu itu jatuh dan binasa satu persatu. Binasa disebabkan oleh api yang panas itu. Ada seekor yang tak mati sekaligus dan mampu terbang lagi. Tetapi ia tidak serik kerana kepanasan, malah ia sendiri lihat dengan mata kepalanya ramai kawannya yang tersungkur ke bumi. Namun itu tidak memberi pengajaran kepada kalkatu itu, mungkin kerana kedegilan dan keseronokan melulu.Tanpa berfikir panjang, kalkatu itu menerkam sekali lagi. Kali ini ia tidak bernasib baik dan menempah maut.   
Termenung aku sejenak. Apa hikmah Allah jadikan kalkatu? Di hati kecilku berkata sebodoh-bodoh kalkatu pun ada baiknya kerana selepas kematian itu tidak dibangkitkan lagi di akhirat. Sebaliknya aku terfikir ramai manusia ketika ini berotakkan kalkatu. Mereka tahu dadah itu bahaya, namun masih mengambilnya. mereka tahu tidak bersembahyang boleh menjerumuskan dirinya ke dalam neraka, namun masih tak hendak bersolat. Mereka tahu merokok membahayakan kesihatan, namun masih menghisap. Mereka tahu berjudi itu haram, namun tetap berdegil tikam ekor. Mereka tahu berzina itu dosa, namun tetap melakukannya. Mereka tahu syurga penuh kenikmatan tapi menjauhinya. Mereka tahu neraka penuh dengan azab tapi ramai yang hendak ke sana. Mereka tahu syaitan itu musuh utama tapi mengambil mereka sebagai kawan. Banyak lagi aksi manusia sekarang yang bertubuhkan manusia namun hakikatnya berotakkan kalkatu.   
                         
MORAL & IKTIBAR   
 
    • Allah memberikan otak kepada manusia untuk berfikir. Jika tidak digunakan atau disalahgunakan manusia akan rugi malah nasibnya lebih dahsyat daripada kalkatu  .
    • Kebanyakan manusia tertipu dengan kemanisan dunia tanpa memikirkan kemanisan akhirat . 
    • Berbondong-bondong manusia mengejar kebahagiaan, hiburan  dan kelazatan dunia sahaja pada hakikatnya adalah mengejar api neraka.
 IHSAN TERHADAP HAIWAN  
 
 
Haiwan juga adalah makhluk Allah yang juga mempunyai perasaan seperti kita. Yang membezakan ialah kita mempunyai akal tetapi haiwan tidak. Haiwan tidak dapat membezakan antara betul dan salah tetapi mereka mempunyai naluri yang Allah berikan untuk meneruskan perjalanan hidupnya. Oleh sebab ia sama makhluk Allah seperti kita, perlulah kita bersikap belas dan kasihan terhadapnya.  
Dalam satu riwayat diceritakan seorang lelaki berasa sangat dahaga setelah jauh berjalan di padang pasir. Di tengah jalan dia berjumpa sebuah perigi. Airnya cetek dan jauh ke bawah. Dia terpaksa turun untuk mendapatkan sedikit air buat menghilangkan dahaga. Lelaki itu naik ke atas semula selepas minum beberapa teguk. Tiba-tiba di tebing perigi itu, dia ternampak seekor anjing yang kelihatan tidak bermaya kerana kehausan. Lelaki itu dapat merasakan betapa hebatnya penderitaan anjing itu lantaran terlalu haus. Dia amat bersimpati kepada anjing itu.  
Walaupun masih keletihan, lelaki itu berikhtiar untuk memberi minum kepada anjing yang haus itu. Dia turun kembali ke dalam perigi lalu memenuhkan kasutnya dengan air. Selepas itu, dia pun naik semula ke atas sambil menggigit kasut yang berisi air itu. Sampai di atas, lelaki itu pun menghulurkan air itu untuk diminum oleh anjing.  
Di atas layanan yang baik dan sifat belas kesihannya terhadap anjing itu, Allah memberikan keampunan di atas dosa-dosanya yang lalu.  
                        
MORAL & IKTIBAR  
 
    • Berbuat baik terhadap haiwan walaupun seekor anjing yang dipandang jejek adalah satu kebajikan dan mendapat pahala 
    • Sifat kesihan dan belas adalah amalan hati. Amalan hati diberikan ganjaran lebih di sisi Allah. 
    • Allah melihat apa sahaja yang kita buat pada setiap masa di mana sahaja kita berada. 
    • Ganjaran pahala diberikan mengikut kadar keikhlasan kita.
    • Begitu juga dosa dikenakan mengikut kadar penglibatan hati kita. 
    • Jangan memandang remeh perkara-perkara yang kita anggap kecil. Boleh jadi di sisi Allah ia amat besar nilainya. 
    • Amalan yang kita anggap kecil kadang-kadang boleh memasukan kita ke syurga. Manakala amalan jahat yang kecil juga boleh memasukkan kita ke dalam neraka. 
    • Jangan memandang rendah kepada haiwan sebab ia makhluk Allah jua seperti kita. 

 

                  PIALA PUNCA BALA

Dinukilkan dalam sebuah kitab, seorang raja dihadiahkan orang sebuah piala minuman bertatahkan permata fairuz. Piala itu sangat cantik dan amat berharga. Raja sangat gembira menerima hadiah itu. Apabila seorang hukama datang berjumpa dengannya, raja itu bertanyakan kepadanya mengenai piala tersebut. Hukama itu berkata, "Aku tidak lihat apa-apa dari piala itu kecuali bala dan fakir." 
Raja tercengang dan berkata, "Mengapa kamu berkata begitu?" Hukama itu menerangkan, "Kalau piala itu pecah, sudah tentu ia tidak boleh dibaiki lagi dan hati tuanku akan menjadi susah atas bala yang menimpa. Kalau dicuri orang pula, tuanku akan bersedih atas kehilangan itu dan berasa seperti seorang fakir. Bahkan sebelum tuanku dapat piala ini, tuanku tidak ada rasa apa-apa bahkan senang dengan keadaan begini, tetapi selepas ada piala ini, jika berlaku kehilangan tentu tuanku berasa amat sedih." 
Selang beberapa bulan, piala yang disayangi raja itu pecah berkecai. Raja itu menjadi sangat sedih dan hampa atas kehilangan piala itu. Dia kembali berjumpa hukama itu dan mengaku atas kebenaran kata-katanya. Kisah ini jelas membuktikan bahawa harta dunia yang kita sayangi tidak memberi apa-apa makna di dunia kecuali kesusahan dan kemiskinan. Bahkan dirasakan amat berat untuk meninggalkan harta itu semasa roh hendak kembali berjumpa Allah. 
  
 
MORAL & IKTIBAR 
  • Kekayaan dan harta dunia adalah perhiasan yang tidak perlu disanjung tinggi. Kekaguman yang melampau terhadapnya mengakibatkan kesusahan dan kemiskinan jika berlaku kerosakan atau kehilangan harta tersebut.
  • Kesayangan pada harta dunia merampas kesayangan pada kenikmatan syurga mengikut nisbah yang sama.
  • Hukama memandang sesuatu benda dari segi hakikat, bukan dari segi zahirnya.
  • Tanpa harta benda pun kita boleh hidup dengan keperluan asasi. Situasi begini lebih menenteramkan hati dan jiwa untuk mengabdi diri kepada Allah.
  • Orang yang mempunyai sedikit kekayaan duniawi lebih mudah masuk syurga kerana tidak banyak soal-siasat dan hisab di mahsyar.
  • Orang yang mempunyai kekayaan duniawi terseksa di mahsyar kerana banyaknya kira-mengira tentang dari mana ia diperolehi dan ke mana pula ia dibelanjakan pada setiap satu harta yang dimilikinya. Ini melewatkan kemasukan ke syurga. Kalau dari sumber tak halal dan dibelanja bukan pada haknya, si-pemilik harta akan dimasukkan ke neraka terlebih dulu.

KAKI AMPU YANG MUNAFIK
 
 
Pada suatu hari, seorang raja memanggil kesemua penasihatnya yang terdiri daripada mufti, menteri-menteri dan timbalannya, para hukama dan tokoh-tokoh agama negarawan ke istana hinggapnya. Mereka dijamu dengan pelbagai juadah dan dianugerah dengan bintang-bintang kehormat. 
Selepas menikmati jamuan, raja mengeluarkan sebotol minyak wangi dari sakunya. Baginda membuka dan menghidunya. "Minyak wangi apa ni... busuk sangat baunya.."  Sambil berkata begitu, raja itu menghulurkan botol itu kepada mufti di sebelahnya. Mufti itu menghidunya. "Ya, benar. Terlalu busuk minyak wangi ini." Minyak wangi itu diberikan pula kepada wazir di sebelahnya. Wazir itu berkata, "Betul Tuanku! Minyak wangi ini memang busuk." Begitulah seterusnya botol itu diedar kepada para jemputan yang ada di balairong. Kesemua mereka mengatakan busuk sebagaimana didakwa oleh rajanya.  
Akhirnya sampailah kepada giliran seorang memanda menteri. Sebaik saja menciumnya, dia terus berikan respons, "Tidak betul, mana ada minyak wangi yang tidak wangi. Kesemua minyak wangi adalah wangi termasuk yang ini. Minyak wangi ini sangat harum, tidak seperti yang tuan-tuan katakan." 
Mendengar kata-kata memanda menteri tadi, raja itu tersenyum sambil berkata, "Benar kata-kata menteriku ini. Kamu semua adalah pengampu yang berbohong. Kamu sanggup  menyembunyikan kebenaran kerana nak mengampu dan menjaga status kamu semua. Mulai hari ini pengampu-pengampu semua dipecat dari sebarang jawatan. Memanda menteri yang berkata benar ini beta lantik menjadi penasihat diraja."
                         
 
MORAL & IKTIBAR 
  • Seorang pemimpin yang benar-benar sedar tentang peranannya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini sentiasa berusaha  menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Mereka bersedia menerima teguran membina daripada rakyat-rakyat dan orang bawahannya meskipun pahit didengar. Sebaliknya mereka benci kepada orang-orang yang suka mengampu dan memujinya tanpa hak.
  • Mereka yang Allah kehendaki menjadi manusia yang baik rela mendengar pendapat dan kritikan orang lain terhadapnya.
  • Bertuahlah sesebuah negara yang mempunyai umara' (raja) yang menghampiri ulama' dan binasalah sesebuah negara yang mana ulama'nya suka menghampiri umara'.
  • Kata-kata yang ikhlas disukai Allah meskipun dibenci oleh semua manusia. Sebaliknya kata-kata yang tidak ikhlas dibenci Allah meskipun digemari oleh semua lapisan manusia.
  • Carilah keredhaan Allah meskipun terpaksa berdepan dengan onak dan duri.
  • Kebaikan sejati ialah berani berkata benar di depan pemerintah yang zalim.
  • Pemerintah yang zalim suka mempunyai penasihat-penasihat yang berkata manis kepada dirinya walaupun tidak benar.
  • Jauhi sifat munafik kerana ia ibarat musang berbulu ayam. Membiarkan si munafik bermaharajalela seolah-olah merosakkan keseluruhan mukabumi Allah ini dengan noda dan dosa.
  • Allah membenci orang yang munafik. Oleh sebab itulah kedudukan orang munafik adalah paling hina daripada orang kafir. Orang kafir jatuh kerana kejahilannya tetapi si-munafik berkata bohong sedangkan dia tahu  itu adalah salah. Justeru, Allah meletakkan orang munafik di kerak neraka yang paling bawah.
  • Jangan menjadi pak turut sehingga menggelapkan kebenaran yang sepatutnya diperjuangkan. Apabila kezaliman telah memenuhi mukabumi, menjadi fardhu ain kepada setiap orang membuat REFORMASI bagi menegakkan keadilan yang diLIWAT.

SEMERBAK IMAN MASYITA
"
Bercakap  fasal iman, saban tahun kita mendengar peristiwa 'israk dan mikraj' khususnya tentang kehebatan iman Masyita, tukang sisir rambut anak Firaun.
Firaun menjadi sombong dan angkuh kerana kebesaran empayarnya dan kehebatan pengaruhnya di kalangan rakyat Mesir. Dia mengaku sebagai tuhan yang agung dan  memusuhi sesiapa saja yang bertuhankan selain dirinya. Malahan dia akan membunuh mereka yang tidak mengaku Firaun sebagai tuhan. 
Masyita walaupun bekerja di istana Firaun, namun di dalam hati  kecilnya tetap bertuhankan Allah yang Maha Berkuasa dan Dialah juga yang menjadikan segala makhluk di muka bumi ini termasuk Firaun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan.  Kepercayaan ini dirahsiakannya supaya tidak diketahui oleh Firaun dan sekutunya.
Pada suatu hari, sedang dia menyisir rambut anak Firaun, sikat di tangannya terjatuh. Masyita terlatah dan berkata "Mampus Firaun! " Apabila anak Firaun mendengar kata-kata penghinaan terhadap bapanya, dia berkata, "Kenapa kau berkata begitu terhadap bapaku? Adakah tuhan lain selain bapaku?"
"Memang benar! Tuhanku dan tuhan bapamu ialah Allah." Mendengar kata-kata itu, anak Firaun menjadi marah. "Baik kamu bertaubat, kalau tidak aku akan beritahu bapaku." Masyita bertegas dan mengatakan, "Pergilah kau beritahu bapa kau. Aku tetap dengan pendirianku bahawa tuhan yang sebenarnya ialah Allah."
Sebaik saja Firaun diberitahu oleh anaknya tentang Masyita, dia menjadi murka dan memanggil Masyita. Dia bertanya sama ada benar apa yang dikatakan oleh anaknya itu. Masyita tetap mengatakan Tuhannya ialah Allah. Firaun mengugut untuk membunuh Masyita dan keluarganya sekiranya dia tidak mengubah pendiriannya.
Keesokannya keluarga Masyita dibawa ke satu tempat lapang, berhadapan dengan sebuah kawah besar yang berisi dengan minyak yang sangat panas. Firaun hendak memasukkan kesemua keluarga Masyita termasuk anaknya yang masih kecil ke dalam minyak panas sekiranya Masyita tidak mengaku Firaun sebagai tuhan. Keimanan Masyita tidak luntur meskipun berhadapan dengan ancaman maut.
Melihatkan iman Masyita yang tidak berganjak, Firaun menyuruh askarnya mencampakkan keluarga Masyita seorang demi seorang ke dalam kawah yang besar itu. Apabila sampai giliran anaknya yang kecil, perasaan Masyita menjadi belas dan sebak. Hati siapa tidak sedih melihatkan anak yang disayangi akan dilontar ke dalam kawah yang membuak-buak dengan minyak panas. Masyita meminta supaya dia dicampakkan dulu sebagai ganti kepada anaknya. Tiba-tiba dengan kuasa Tuhan, anaknya yang kecil itu membuka mulut dan berkata, "Ibu, jangan bersedih. Teruskan! Biarkan saya dicampak ke dalam kawah itu." Masyita dan orang-orang di sekeliling terperanjat melihat seorang bayi boleh berkata-kata.
Mendengar kata-kata anaknya itu, Masyita menjadi semakin yakin dan tabah. Dia menghulurkan anaknya untuk dicampakkan ke dalam kawah. Tanpa belas kesihan askar Firaun terus melontarkan anak Masyita ke dalam minyak panas. Selepas itu barulah Masyita dibawa ke tepi kawah yang panas itu lalu dicampakkan ke dalamnya. 
Demikianlah hebatnya Masyita mempertahankan kebenaran aqidah sehingga dia dan keluarganya terkorban dibunuh oleh Firaun. Keberanian seorang wanita memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini dirakam dan diingati setiap tahun oleh seluruh manusia. Dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi sampai di satu tempat yang sangat harum. Malaikat Jibril menerangkan bahawa tempat itu ialah tempat bersemadinya Masyita dan keluarganya.
Awas! Mana-mana pemimpin yang bongkak dan mengaku kehebatannya sebagai pemimpin, takbur, sombong dan berlagak sebagai superman yang kuku besi, nyatalah ciri-ciri Firaun yang terkutuk itu sudah diwarisinya. Nauzubillah!
 
MORAL & IKTIBAR
  • Orang yang mengorbankan jiwa dan raganya demi menegakkan kebenaran diberikan kedudukan yang tinggi di sisi Allah.
  • Bukan lelaki saja yang mempunyai semangat yang kental dan tinggi dalam memperjuangkan kebenaran. Golongan wanita yang dianggap kaum yang lemah juga mempunyai keberanian dengan izin Allah
  • Allah menetapkan hati hamba yang mencari keredhaanNya sehingga seorang bayi mampu bercakap dalam usia yang paling muda. Anak Masyita adalah salah seorang bayi yang boleh bercakap semasa kecil lagi. Contoh lain ialah anak Siti Mariam yang menafikan ibunya melahirkan anak haram.
  • Orang yang Allah tidak kehendaki keimanannya dibiarkan mereka hidup dalam kezaliman sehingga menyangka keburukan sebagai kebaikan dan kebaikan pula dipandang sebagai kejahatan.
  • Manusia jangan menyangka mereka mudah saja dibalas dengan syurga selagi tidak diduga dengan pelbagai musibah dan kesusahan. 
  • Dunia adalah tempat bersusah-payah, manakala akhirat ialah tempat kesenangan abadi.
  • Prinsip dan pegangan hidup orang tua-tua, "Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian" seharusnya dijadikan pedoman hidup bagi kita.
  • Manusia yang senang kehidupannya tanpa diduga oleh Allah belum lagi diiktiraf keselamatannya di akhirat
  • Kesenangan di dunia belum boleh dijadikan bukti sebagai tanda Allah menyayangi mereka.  Begitu juga kesusahan di dunia bukan menjadi bukti bahawa Allah membenci mereka.
  • Kesenangan di dunia bukan menjadi kayu pengukur kepada kesenangan di akhirat. Kesusahan di dunia pula bukan menjadi kayu pengukur kepada kesusahan di akhirat. 



ISRAK & MIKRAJ 
MENGUJI KEIMANAN
"
Peristiwa Israk dan Mikraj membawa banyak pengajaran khusus untuk umat Nabi Muhammad. Kesemua gambaran yang diperlihatkan kepada Nabi Muhammad mempunyai pengajaran dan perbandingan simbolik yang tersirat. Oleh sebab gambaran-gambaran begini seolah-olah tidak natural, maka ramailah manusia terutama  yang lemah keimanannya kepada Allah, Rasul dan khabar ghaib sukar mempercayainya. Sebaliknya orang-orang yang beriman terus percaya tanpa soalselidik kerana mereka sedar kesemua itu adalah atas kehendak dan kekuasaan Allah. Apa yang Allah kehendaki terus menjadi (kun fayakun); tiada siapa pun boleh menghalangnya. Kesemua kita milik Allah, masa milik Allah, tempat milik Allah, ruang milik Allah malahan apa yang terlintas di hati kita juga milik Allah. Hakikatnya kita tidak memiliki sesuatu. Saidina Abu Bakar apabila diberitahu tentang keganjilan yang berlaku dalam peristiwa Israk dan Mikraj, serta merta berkata jika pengakuan itu datang dari Nabi Muhammad, dia 100% yakin dan percaya bukan setakat peristiwa Israk & Mikraj, malah lebih daripada itu pun dia akan yakin.
Krisis kepercayaan dan keimanan ini sudah wujud pada zaman Nabi lagi. Baginda sekembalinya dari mikraj turun ke Baitul Maqdis dan menaiki Buroq ke Mekah bersama Jibril. Sampai di Mekah, Buroq dan Jibril meninggalkan Nabi berseorangan. Baginda amat sedar bahawa jika diceritakan pengalaman itu kepada orangramai, nescaya ramai yang tidak mempercayainya. Betapa mereka hendak percaya sedangkan perjalanan unta dari Mekah ke Baitul Maqdis sahaja memakan masa berbulan-bulan tetapi Nabi boleh pergi dan balik dalam masa sehari semalam dan ditambah pula dengan naik ke langit hingga Sidratul Muntaha. Ketika itu waktu Subuh. Abu Jahal terserempak dengan Nabi. Nabi menceritakan perjalanannya dari Mekah ke Baitul Maqdis semalaman. Abu Jahal yang sememangnya mencari isu yang boleh menghakis kepercayaan orang kepada Nabi, terus mempersendakannya dan berlalu sambil menghebohkan kepada orangramai. Nabi Muhammad tidak perlu mengumpulkan orang sebab Abu Jahal sendiri sudah berusaha memanggil mereka untuk mendengar cerita 'karut' Nabi Muhammad.
Sekumpulan manusia dari Bani Qa'ab dan Luay berkumpul di sekeliling Nabi untuk mendengar peristiwa yang berlaku. Nabi menceritakan dari awal hingga akhir apa yang berlaku. Ada yang terpinga-pinga mendengarnya. Tetapi segolongan lain tetap yakin akan kebenaran Nabi. Beberapa orang berjumpa Saidina Abu Bakar dengan harapan Saidina Abu Bakar menyangkal apa yang berlaku. Tetapi dengan tegas Abu Bakar membenarkan segala kata-kata Nabi Muhammad. 
Demikianlah sekiranya Allah hendak memberikan kebaikan kepada seseorang, diberikannya keimanan kepada Rasul. Sebaliknya jika Allah tidak menghendaki kebaikan pada seseorang, maka tetaplah dia dengan kekufuran dan tidak mempercayai pengalaman yang dilalui oleh Nabi Muhammad. Semoga kita semua termasuk dalam kategori manusia yang beriman dengan Allah dan RasulNya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...