Rabu, 2 Mac 2011

Bongkar keilmuan Barat

Oleh Ismail Hashim

Peristiwa runtuhnya dua bangunan berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001 akibat serangan dua buah kapal terbang awam yang diikuti dengan perisytiharan perang menentang keganasan yang menyebabkan penaklukan Amerika Syarikat (AS) ke atas Afghanistan dan Iraq seharusnya membawa pengertian penting bagi masyarakat Islam dan Dunia Ketiga.

Ia membawa kita kepada suatu bentuk pemikiran untuk menilai semula segala korpus keilmuan Barat dan membongkar semula wacana keilmuan imperialis/kolonialis. Dalam hal ini apabila menyebutkan Barat kita mengaitkannya dengan AS dan Eropah Barat.
Bukannya tidak terdapat kesedaran semacam itu kerana sebelum ini terdapat tulisan-tulisan yang mempersoalkan dan mengkritik wacana imperialisme seperti daripada Frantz Fanon, Edward W. Said, Ziauddin Sardar, Asish Nandy, Syed Hussien Alatas, Syed Naquib Alatas, Hassan Hanafi dan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S.M. Mohd Idris (menyebut segelintir) tetapi sedikit sekali terdapat dalam bentuk kesatuan, persatuan atau organisasi yang ingin membongkarkan wacana keilmuan Barat.
Terdapat juga penulisan-penulisan dan wacana pascakolonial atau penjajah yang sedang dikembangkan. Tetapi perkataan pascakolonial atau penjajah - adakah bermakna tiada penjajahan yang berlaku lagi.
Ini juga bukanlah bermakna tidak terdapat kesedaran politik, budaya dan ekonomi yang ingin membebaskan diri daripada cengkaman imperialisme Barat. Bahkan sejak bermulanya perjuangan kemerdekaan di kalangan negara Dunia Ketiga sudah terdapat pergerakan politik dan agama yang melakukan perkara sedemikian.
Tetapi kini kita ingin menyoal dan menjalankan pembongkaran terhadap segala korpus dan wacana keilmuan Barat.
Sebagai permulaan, kita boleh menyoal ke manakah hala tuju pendidikan AS sekarang? AS yang terkenal dengan sistem pendidikan unggul dan mempunyai antara universiti terbaik di dunia seperti Universiti Berkeley dan Harvard kini sedang melakukan pembunuhan secara terang-terangan ke atas rakyat Iraq yang tidak berdosa.
Suatu malapetaka kemanusiaan telah berlaku di Fallujah, Iraq apabila tentera AS bertindak menggempur bandar tersebut dengan segala kekuatan ketenteraannya.
Apakah matlamat sistem pendidikan AS? Ingin melahirkan seorang insan atau melahirkan manusia rakus dan tamak akan kuasa. Sama ada dipersetujui atau tidak, sistem pendidikan AS telah gagal melahirkan seorang manusia yang berakhlak dan bermoral. Ia boleh saja melahirkan seorang manusia yang berilmu tetapi masih gagal melahirkan seorang insan.
Seorang aktivis masyarakat pribumi Amerika (Red Indian) bernama Ward Churchill dalam buku kecilnya White Studies (Kajian Orang Putih) telah menjalankan kajian terhadap sistem pendidikan tinggi AS dan membuat beberapa rumusan.
Penilaian
Ia adalah kajian perintis dengan dua matlamat:
1. Membentuk penilaian kritis tentang sistem pendidikan tinggi daripada perspektif pribumi. (Daripada perspektif kita, Malaysia atau umat Islam).
2. Memberikan ringkasan mengenai bagaimana pendidikan tinggi boleh berpindah dari model kolonial. Dengan kata lain, buku kecil ini sekali gus merupakan analisis masalah dan seruan untuk bertindak.
White Studies menerangkan kesulitan yang dialami oleh pelajar yang mempunyai kesedaran untuk membebaskan diri daripada cengkaman wacana imperialis.
Ia menerangkan bagaimana suatu sistem yang bangga dengan `objektiviti' dan `kebebasan kesarjanaan', namun pada hakikatnya bersandarkan kepada order kolonial yang menyempitkan pemikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu pandangan yang kecil.
Melalui buku kecil ini ia juga membantu kita mencari kaedah menyoal balik sistem tersebut, yang bermula dari dalam kemudian berhijrah keluar daripada sistem tersebut sama sekali.
Apa yang dimaksudkan Churchill sebagai White Studies adalah bentuk pemikiran dan tindakan kolonialisme pada mulanya telah menakluki minda orang Barat dan kini semakin berleluasa sebagai fenomena global, mempengaruhi semua orang di dunia ini, dan proses globalisasi telah atau sedang cuba menghapuskan semua sistem lain yang ada tanpa menghiraukan tradisi pendidikan tempatan.
Tambah Churchill lagi di zaman liberal yang berkembang luas dengan persekolahan moden yang gagal menyelesaikan masalah alam sekitar, keruntuhan budaya dan kerosakan masyarakat - maka sudah sampai masanya manusia mencari kepelbagaian dalam cara berfikir dengan mencari kebebasan dalam memperkasakan budaya dan masyarakat serantau.
Atas dasar ini adalah dirasa perlu bagi kita untuk membina korpus ilmu yang berpusat dan berdasarkan kepada ketimuran, Islam atau lebih dikenali sebagai oksidentalisme.
Malah bekas perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad telah merintis ke arah pembentukan suatu pusat kajian Barat dan yang akhirnya membawa kepada tertubuhnya Institut Kajian Oksidental (IKON) di Malaysia di mana Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin adalah pengarahnya.
Malaysia atau negara Dunia Ketiga yang lain tidak harus selamanya menjadi objek kajian Barat tetapi sekarang Barat pula harus menjadi objek kajian kita di mana mereka adalah `Yang Lain' dan kita adalah subjek yang mengkaji Barat.
Kita mungkin boleh menyoal sejauh mana dan selama manakah dunia akademik di universiti-universiti Dunia Ketiga harus bergantung kepada Barat dalam pelakaran dan penghasilan kurikulum sains sosialnya.
Dan persoalan kenapa sains sosial? Ini kerana banyak disiplin ilmu dalam bidang sastera berasal daripada sains sosial seperti sosiologi, sejarah, sains politik, ekonomi, psikologi, kajian wanita, perlakuan organisasi, pengajian komunikasi dan yang berkaitan dengannya.
Misalnya dalam pelakaran kurikulum sosiologi di universiti, kita tidak seharusnya bergantung kepada tokoh-tokoh sosiologi Barat seperti Max Weber, Karl Marx, Emile Durkhiem, Aguste Comte dan seumpamanya.
Ahli-ahli akademik tempatan boleh saja memperkenalkan nama tokoh-tokoh sosiologi Islam dan Dunia Ketiga seperti Ibn Khaldun, Al Biruni, Mahatma Gandhi, Jose Rizal, Dr. Ali Shariati, Malik Ben Nabi atau tokoh sosiologi tempatan seperti Syed Hussien Alatas.
Suatu perbandingan harus dilakukan antara sumbangan dan peranan ahli sosiologi Barat dan Dunia Ketiga.
Ini tentunya berbeza dengan bagaimana Max Weber dan Karl Marx mengkaji dan menanggapi masyarakat Eropah pada abad ke-19 dengan apa yang kita lihat sekarang.
Bolehkah lagi teori mereka yang dihasilkan pada abad ke-19 atau awal abad ke-20 berdasarkan kepada senario dan budaya Eropah diguna pakai dalam mengkaji masyarakat Malaysia atau Dunia Ketiga?
Mungkin kita boleh pergi lebih jauh dengan mempersoalkan bidang komunikasi umpamanya. Mengapakah sehingga sekarang masih terdapat dua aliran pemikiran komunikasi Barat iaitu Fungsionalisme dan Sosialisme dalam disiplin komunikasi di kebanyakan universiti tempatan? Sejauh manakah pula peranan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam mengembangkan teori komunikasi Islam.
Mengapa harus bergantung kepada dua bidang sahaja? Adakah kerana tiada ahli akademik yang mengkaji dan pakar dalam teori komunikasi Barat dan Timur?
Mengapa ahli-ahli akademik sains sosial (termasuk komunikasi) kita sukar mendapat tempat dalam jurnal komunikasi Barat.
Adakah kerana segala penulisan dan penyelidikan ahli akademik dan sarjana kita tidak bermutu atau tidak setanding dengan sarjana Barat?
Ini bukan kerja yang mudah tetapi setidak-tidaknya setelah lebih 25 tahun merdeka, apakah kita harus dan masih bergantung kepada teori komunikasi Marxis (ekonomi politik) dan Fungsionalisme dalam pengajian komunikasi, kajian media atau dalam ilmu sosiologi atau sains politik misalnya.
Adakah minda kita masih terjajah?
Secara lebih jauh lagi sejauh manakah kurikulum tempatan pada tahap sekolah rendah dan menengah dilakukan mengikut kepentingan dan selera tempatan. Sehingga ke tahap manakah mata pelajaran sejarah, kajian tempatan dan mata pelajaran lain diwarnai oleh pandangan kemalaysiaan misalnya?
Misalnya kita harus menyingkirkan pandangan bahawa Francis Light yang menemui Pulau Pinang. Suatu usaha untuk meluruskan sejarah Pulau Pinang harus dilakukan. Hakikatnya orang Melayulah yang mula-mula menemui Pulau Pinang dan bukannya Francis Light.
* Ismail Hashim ialah Pensyarah Komunikasi di Kolej Han Chiang, Pulau Pinang.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...